Timun atau mentimun merupakan tanaman sayur yang sangat mudah ditanam dan mudah diperoleh di seluruh dunia. Timun khususnya di Malaysia sering disajikan sebagai ulam bersama nasi lemak dengan sambal belacan.
Timun yang sifatnya menyejukkan itu juga digunakan secara meluas di dalam masakan di negara kita. Ada yang gemar memakannya secara mentah iaitu dibuat ulam, diminum dalam bentuk jus dan ada juga yang memasaknya seperti masak bening dan sebagainya. Sebenarnya masih banyak lagi hidangan yang boleh dimasak berasaskan timun.
Timun mengandungi pelbagai nutrisi yang mampu menjaga dan meningkatkan kesihatan tubuh. Antara kebaikan timun terhadap kesihatan tubuh manusia ialah:
KHASIAT TIMUN
1. MENGHIDRATKAN TUBUH BADAN
- Sekiranya kita terlalu sibuk untuk minum air secukupnya, kita boleh terus makan timun yang sejuk kerana timun yang sejuk mengandungi 99% air.
2. MENYINGKIRKAN TOKSIN DALAM BADAN
- Kandungan air yang terdapat dalam timun bertindak sebagai ‘penyapu’ yang akan membersihkan semua sisa buangan yang terdapat dalam tubuh kita. Dikatakan dengan memakan timun secara kerap, ia dapat melarutkan batu karang.
3. MEMBEKALKAN MINERAL KEPADA KULIT
- Timun merupakan sayuran yang mengandungi potasium, magnesium dan silikon yang tinggi. Oleh sebab itu, kita dapat lihat kebanyakan pusat spa menggunakan timun sebagai bahan untuk kecantikan.
4. SUMBER VITAMIN HARIAN
- Timun mengandungi semua jenis vitamin yang diperlukan oleh tubuh badan kita sehari iaitu vitamin A, B, dan C yang menggalakkan sistem imunisasi agar lebih bertenaga dan berseri. Timun ini lebih sesuai dijadikan jus minuman yang dicampurkan dengan lobak merah dan daun bayam. Jus ini elok untuk kulit kerana ia mengandungi 12% vitamin C yang mana cukup untuk keperluan kulit kita dalam sehari.
5. DIKATAKAN DAPAT MERAWAT DIABETES, MENGURANGKAN KOLESTEROL DAN MENGAWAL TEKANAN DARAH
- Jus timun mengandungi sejenis hormon yang diperlukan oleh pankreas untuk menghasilkan insulin yang kebaikan kepada pesakit diabetes. Ada penyelidik telah menemui sejenis bahan sebatian yang disebut sebagai ‘sterol’ pada timun yang dapat menurunkan paras kolesterol. Timun juga kaya dengan serat, potasium dan magnesium. Bahan ini sangat efektif untuk menstabilkan tekanan darah. Oleh itu, timun sangat baik untuk merawat tekanan darah tinggi mahupun tekanan darah rendah.
6. MEMBANTU BUAH PINGGANG BERADA DALAM KEADAAN BAIK
- Timun mampu merendahkan paras asid urin dalam tubuh kita sekali gus mampu memastikan buah pinggang kita sentiasa dalam keadaan baik.
Dah tahu khaisatnya, jadi bolehlah selalu ambil sayur ini dalam hidangan harian. Selain dimakan segar atau dijadikan jus, timun juga boleh dimasak dengan pelbagai cara hidangan. Antara yang boleh anda cuba ialah:
RESEPI MENGGUNAKAN TIMUN
1. TIMUN GORENG UDANG BERTELUR
BAHAN-BAHAN:
- 1 biji timun |potong kecil
- 5-7 ekor udang |bersihkan
- 1 biji bawang merah |potong halus
- 2 ulas bawang putih |cincang halus
- 2 biji telur |kacau sedikit
- Garam gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Tumis bawang merah dan bawang putih hingga naik bau dan layu.
- Kemudian masukkan udang dan timun dan goreng hingga masak.
- Tuangkan telur yang telah dikacau dan biar seketika. Apabila telur kelihatan sudah masak, gaul lagi bagi memastikan telur berketul. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
2. SUP TIMUN
BAHAN-BAHAN:
- 1 sudu makan minyak zaitun
- 5 ulas bawang putih |cincang halus
- 1 biji bawang Holland saiz kecil |cincang halus
- 1 sudu makan lemon jus
- 1 batang timun saiz sederhana |buang isi tengah dan potong dadu kecil
- ½ sudu teh garam
- 125gm yogurt asli
CARA MEMASAK:
- Tumis bawang putih dengan minyak zaitun bersama bawang Holland, kemudian masukkan timun.
- Masukkan pula jus limau dan garam. Kecilkan api dan biar sejuk seketika. Ketepikan.
- Kisar semua bahan yang ditumis tadi hingga halus dan tuangkan ke dalam yogurt. Gaul sebati.
- Boleh dihidangkan secara suam atau disejukkan terlebih dahulu.
3. SMACKED CUCUMBER DRIED SHRIMP
BAHAN-BAHAN:
- 3 biji timun jepun
- 50gm udang kering
- 3 ulas bawang putih
- ½ sudu teh minyak zaitun
- 2 sudu teh jus lemon
- Secubit garam
- Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
- Timun diketuk sedikit sama ada menggunakan pisau besar atau diketuk di atas meja hingga agak layu/lembek. Tapi jangan sampai hancur.
- Potong timun menjadi bahagian kecil. Masukkan ke dalam mangkuk dan kemudian ketepikan.
- Panaskan minyak di dalam kuali dan tumiskan bawang putih dan masukkan udang kering.
- Apabila sudah masak, tuangkan ke dalam mangkuk berisi timun tadi. Masukkan ½ sudu teh minyak zaitun, dua sudu teh jus lemon dan secubit garam. Gaul sekata.
- Sedia dihidangkan.
4. TIMUN SUMBAT BERSAMBAL TOMATO
BAHAN-BAHAN:
- 1 batang timun |hiris memanjang, nipis
BAHAN INTI:
- 7-10 ekor udang |buang kulit dan dicincang
- 1 biji bawang besar |cincang halus
- 3 ulas bawang putih |Cincang halus
- 1 sudu makan mentega
- Gula garam secukup rasa
Bahan sambal tomato:
- 1 biji tomato
- 1 biji bawang Holland
- 3 sudu makan cili giling
- Sedikit jus lemon
- Garam dan gula secukupnya
CARA MEMASAK:
- Untuk membuat inti; Panaskan mentega. Tumis bawang putih dan bawang besar kemudian masukkan udang. Kacau sekata.
- Perasakan dengan gula dan garam. Apabila sudah masak, ketepikan. Biarkan sejuk.
- Untuk menyediakan sambal tomato; Kisar tomato bersama bawang hingga halus.
- Tumis bersama cili giling dan masak hingga pecah minyak dan sambal berubah warna gelap. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
- Masukkan sedikit jus lemon dan gaul sebati. Angkat dan sejukkan.
- Timun dihiris memanjang, masukkan inti dan gulung. Hidang bersama sambal tomato.
5. CUCUMBER MINT DRINK
BAHAN-BAHAN:
- 500 ml air ais krim soda
- Hirisan timun secukupnya
- Daun pudina secukupnya
- 1 sudu teh jus lemon
CARA MEMASAK:
- Tuangkan air ais krim soda di dalam gelas.
- Masukkan hirisan timun dan daun pudina.
- Masukkan jus lemon. Kacau sekata. Sejukkan di dalam peti sejuk.
- Keluarkan ketika hendak minum.
💟 Nak dapatkan lebih banyak tips berkaitan tanaman?
Follow FB Group Geng Kebun Organik
No comments:
Post a Comment