Thursday, February 28, 2019

Puri organik untuk si manja

Dapat dilihat ibu bapa zaman sekarang sangat menitikberatkan pemakanan si kecil mereka. Kebanyakannya menggunakan sayuran dan buah-buahan untuk membuat makanan bayi. Menyediakan makanan bayi tidak sama dengan masakan untuk orang dewasa. Makanan bayi biasanya perlu dimasak hingga menjadi lembut dan hancur, dikisar atau dilenyek terlebih dulu hingga menjadi puri.

Apa yang penting, si kecil manja akan mendapat makanan yang segar dan berkhasiat. Apabila menyediakan sendiri makanan bayi bukan saja dapat memastikan ia bersih dan selamat untuk diberi, ia juga menjimatkan perbelanjaan keluarga.Membuat puri sendiri tanpa bahan pengawet akan menjadikan bayi lebih sihat. 

Berikut beberapa jenis buah segar yang amat sesuai diberikan kepada bayi berusia enam bulan ke atas

1. Epal

Puri daripada epal merah biasanya lembut dan manis rasanya. Jenis inilah yang menjadikan puri epal disukai kebanyakan bayi. Epal juga tinggi dengan vitamin C dan serat. Kajian menunjukkan epal memberikan perlindungan hebat terhadap asma. Buah yang serba guna ini sesuai dicampur dengan puri daripada buah-buah lain, sayur-sayuran, daging atau ayam.

2. Pisang

Puri pisang dipercayai boleh melegakan sakit perut dan mengatasi cirit-birit. Rasanya yang manis dan berkrim dapat menyeimbangkan rasa daripada buah yang masam seperti strawberi jika ingin dicampur bersama.

                                                      3.  Avocado

Buah ini kaya omega-3 dan membuat puri menggunakan avokado amat mudah kerana tidak perlu dimasak. Ia memang sedap dimakan begitu saja atau dicampur dengan puri pisang untuk memberikan khasiat terbaik buat bayi. Pilih buah yang masak dan lembut agar tidak rasa pahit untuk bayi makan.


4. Mangga

Buah mangga kaya dengan vitamin A dan pastinya disukai semua peringkat umur dan tidak terkecuali bayi. Membuat puri mangga pun mudah kerana tidak perlu memasak sebelum melumatkannya menjadi puri. Puri mangga juga sesuai dan semestinya sedap dicampur bersama sayuran manis seperti ubi. 

5. Betik

Betik adalah antara buah yang banyak mengandungi air dan tinggi folat. Tidak perlu dimasak, betik hanya perlu dilumatkan dan dicampurkan dengan bubur nasi atau puri pisang. Ia sesuai untuk bayi berusia 10 bulan ke atas.


6. Labu kuning

Labu kuning ini kaya dengan serat dan dapat membantu bayi membuang air besar secara teratur. Walaupun kelihatan keras, ia memiliki tekstur yang lembut sehingga mudah dicerna oleh bayi. Buah ini juga banyak mengandungi vitamin A, C, K, zat besi dan protein yang baik untuk pertumbuhan tubuh bayi. Buah ini boleh diberikan kepada bayi berusia enam bulan ke atas dalam bentuk bubur, dikukus kemudian dikisar halus.




Anda minat menanam? Kita GENG 😍😍

Jom join  Geng Kebun Organik



Wednesday, February 27, 2019

Buah Tin kaya dengan pelbagai nutrien

Buah tin segar memiliki rasanya yang unik dengan tekstur segar yang membuatkan sesiapa saja teringin. Isinya penuh dengan biji rangup, mempunyai rasa manis dan sedikit liat semasa dikunyah, menjadikan buah tin antara makanan popular di seluruh dunia.

Ia adalah buah yang digemari ramai sejak zaman lampau dan bangsa Rom purba menganggapnya buah suci hingga mereka membuat undang-undang melarang buah itu dieksport ke luar negara.
 
Buah tin memiliki warna yang berbeza mengikut jenisnya dan kebanyakan yang dijual di pasaran adalah dalam bentuk kering supaya ia boleh dimakan sepanjang tahun. Bagi memilih buah tin segar terbaik dan penuh antioksidan, pilih yang betul-betul masak. Sekiranya memilih buah tin kering, hanya beli yang lembut, bebas kulat dan harum baunya.

Selain rasa buah ini yang sedap, buah tin juga menawarkan khasiat kepada kesihatan kerana kaya dengan pelbagai nutrien penting. Antaranya ialah

Menurunkan tekanan darah tinggi
Buah tin kaya dengan potasium iaitu sejenis mineral yang membantu mengawal tekanan darah.
Makanan yang kaya potasium seperti buah tin mampu memberikan kesan yang baik kepada kesihatan diri kita sekiranya diamalkan secara konsisten dalam diet harian.

Menurunkan berat badan
Buah tin mampu membantu penghadaman selain memberi rasa kenyang yang berpanjangan dan dapat mengurangkan berat badan.

Melindungi diri dari barah payu dara
Pengambilan serat yang tinggi mampu melindungi wanita yang sudah menopaus daripada barah payudara. 

Membantu mengawal diabetes
Daun buah tin mempunyai peranan dalam menjaga kesihatan kerana ia memiliki bahan anti diabetik yang mampu mengawal jumlah insulin diperlukan bagi pesakit diabetes yang mengambil suntikan insulin.

Mengelak masalah sembelit
Kandungan serat yang tinggi bagi biji buah tin membantu melancarkan fungsi usus, seterusnya mengelak sembelit. Bukan saja usus menjadi sihat, buah tin turut menyelesaikan masalah perut meragam dan juga cirit-birit.

Menguatkan tulang
Bukan saja menguatkan tulang dan mengurangkan risiko osteoporosis, ia juga menggalakkan pertumbuhan tulang dan memperbaiki bahagian tulang yang rosak.

Melegakan sakit tekak
Lendir yang ada di dalam buah tin memiliki sifat penyejuk dan mampu merawat sakit tekak serta melindungi tekak daripada masalah kesihatan. Lendir itu adalah jus semula jadi yang dapat melegakan kesakitan pada kerongkong dan peti suara.


Anda minat menanam? Kita GENG 😍😍


Tuesday, February 26, 2019

Pelbagai khasiat daun kari

Pokok daun kari adalah antara tanaman yang tidak asing lagi bagi masyarakat tempatan. Ramai yang menanam pokok daun kari sebab mudah untuk digunakan dalam masakan. Tanaman ini adalah sejenis pokok kecil yang mampu membesar sehingga sekitar enam meter tinggi dengan diameter batang mencecah 40 sentimeter. Ciri daunnya adalah pinat (pinnate) iaitu majmuk dengan anak daun tersusun pada satu rakis.

Pokok kari juga menghasilkan bunga kecil berwarna putih yang melalui proses pendebungaan sendiri dan menghasilkan biji benih berbentuk beri berwarna hitam.


Komponen pokok yang sering digunakan dan sinonim dalam kehidupan seharian adalah daun, akar dan kulit kayu. Daun kari yang memiliki aroma tersendiri selalu dijadikan bahan masakan khususnya untuk hidangan ala India seperti gulai kari. 

Daun kari juga turut digunakan untuk tujuan kesihatan terutama bagi pengamal Ayurveda kerana dipercayai mempunyai kelebihan seperti anti diabetes dan anti oksida selain berupaya melindungi hati daripada kerosakan. Daun kari pun boleh dijadikan sebagai tonik herba untuk menguatkan perut dan meningkatkan keupayaan perut serta mengatasi masalah penghadaman.  Caranya adalah minum jus daun kari yang dicampur dengan madu.

Antara khasiat yang dipercayai terkandung dalam daun kari adalah karbohidrat, tenaga, serat, kalsium, zat besi, mineral dan pelbagai vitamin seperti C, A, B dan E. Ciri daun kari yang tinggi aroma itu menciptakan pelbagai produk lain seperti sabun, losyen, pewangi rumah, minyak wangi dan produk penjagaan rambut.

Manakala akar pokok kari turut digunakan untuk merawat sakit badan dan kulit kayu digunakan untuk menyembuhkan kesan gigitan ular.

Anda minat menanam? Kita GENG 😍😍

Jom join Geng Kebun Organik

Monday, February 25, 2019

Perkara yang perlu dibuat sebelum mula menanam

Ramai yang gemarkan tanaman tapi mereka tidak tahu bagaimana cara nak memulakan untuk menanam. Bagi yang ingin memulakan menanam menggunakan pasu atau pot perlu tahu beberapa perkara ini.

1. Lokasi pasu
Perkara yang perlu diberi perhatian ialah tempat dimana lokasi ingin menanam. Tempat yang kita hendak meletakkan pasu dan bekas tanaman. Lebih baik letakkannya pada tempat yang ada sinaran matahari seperti di tepi tingkap, atau tepi luar kawasan rumah supaya tanaman akan mendapat sumber cahaya yang mencukupi.

2. Tanaman
Perlu juga tahu jenis tanaman yang hendak ditanam di dalam bekas. Lain tanaman, lain juga penjagaannya. Untuk permulaaan, dicadangkan untuk menanam kangkung dan bayam kerana dua tanaman itu mudah tumbuh. Cuba tanam di dalam bekas dan lihat perkembangannya di lokasi yang dipilih. Apabila sudah menuai, boleh cuba tanaman lain.

3. Pengairan
Ramai menyangka tanam menggunakan pasu atau bekas tidak ­memerlukan sistem pengairan yang baik. Pengairan bermaksud air siraman diserap pokok manakala lebihan air disalurkan keluar dari bekas tanaman. Kebanyakan sayur dan pokok buah tidak tahan air bertakung di dalam bekas. Akar tumbuhan akan lemas dan akan menyebabkannya mati. Pastikan setiap bekas yang digunakan ada lubang pengairan di bawahnya agar air siraman yang lebih mengalir keluar dari pasu.

4. Pembajaan
Pembajaan penting kepada pokok yang tumbuh di dalam bekas atau pasu. Jika di atas tanah, akar pokok boleh menjalar jauh mencari sendiri air dan nutrien, tetapi tidak di dalam bekas atau pasu. Oleh itu, selalu bekalkan kompos sebagai baja organik kepada tanaman.

5. Media tanaman
Media ini bermaksud jenis tanah yang boleh digunakan untuk bertanam. Ada yang guna tanah campur, tanah bakar atau kompos sebagai media dalam pasu. Untuk tanaman di dalam pasu, lebih elok gunakan media yang tidak berat seperti kompos. Campuran kompos dan tanah atas (top soil) sangat disarankan. Selain kompos boleh menjadi baja, ia juga bertindak sebagai media yang bagus untuk penanaman seperti tanaman sayur.

6. Penyiraman
Ada dua sistem siraman iaitu automatik dan manual. Biasanya kita lebih senang menggunakan sistem siraman manual iaitu dengan terus menyiram dari paip air atau tong siraman. Ada beberapa jenis alatan atau bahan yang boleh digunakan untuk menyiram secara automatik.

Anda minat menanam? Kita GENG 😍😍

Jom join Geng Kebun Organik

Mudah je hindarkan serangga perosak tanpa gunakan racun

Ramai yang gemar menanam sendiri sayuran dan buah-buahan sendiri sebab menyangka bahawa kualitinya lebih selamat sebab bebas dari bahan kimia. Sebenarnya tak susah pun nak menjaga pokok sayuran sendiri dari segi pembajaan dan serangan racun serangga. Kadang tanpa kita sedar serangga perosak memang akan hinggap dan memakan hasil tanaman kita. Sebenarnya ada je cara yang mudah untuk kita hindarkan serangga perosak memakan hasil tanaman kita.

1. Tidak digalakkan meletakkan pasu tanaman atau bekas tanaman atas tanah jika menanam menggunakan pasu. Ianya akan berisiko untuk serangga perosak hinggap pada tanaman terutamanya yang baru bercambah. Untuk elakkan perkara ini berlaku, alaskan pasu atau bekas tanaman tersebut untuk mengurangkan serangan serangga berlaku.

2. Kita juga boleh menghasilkan racun pencegah serangga perosak dengan menggunakan bahan yang ada dirumah. Contohnya seperti gunakan serbuk cili dan taburkan pada sekeliling tanaman. Ia akan menghalang serangan semut dan ulat daripada merosakkan akar dan batang tanaman.

3. Kita juga boleh menghasilkan sabun serangga. Ianya bertujuan bagi mencegah serangga dari merosakkan edible garden. Caranya campurkan tiga titis sabun pencuci ke dalam air dan campurkan dengan minyak masak. Masukkan dalam botol penyembur dan semburkan pada batang pokok. Elakkan sembur pada bahagian bunga atau daun tanaman.

4. Bagi yang memelihara haiwan dirumah, digalakkan memasang pagar sebagai pemisah bagi mengelakkan gangguan dari haiwan tersebut pada tanaman.

Anda minat menanam? Kita GENG 😍😍

Jom join Geng Kebun Organik

Friday, February 22, 2019

Peminat orkid mesti tahu

Tanaman orkid sekarang makin lama makin menjadi kegemaran peminat tanaman sebab keunikan bentuk dan keindahan warna bunganya yang pelbagai. Hanya ada dua jenis orkid iaitu simpodial dan monodial yang berbeza dari segi ciri pokoknya, tapi juga dari cara penjagaan serta penanamannya.

Orkid simpodial adalah jenis yang mempunyai batang bercabang dan akarnya tertumpu pada bahagian bawah pokok sementara orkid monodial pula berbatang tunggal serta akar diudara. Jenis orkid monodial lebih tahan lasak dan boleh diletakkan di bawah cahaya matahari terus dan orkid monodial boleh membesar hingga 1.5 meter. Berbeza dengan orkid simpodial yang boleh membesar hingga ketinggian 0.9 meter.

Lebih menarik, ia juga boleh dibiakkan melalui anak benih atau keratan batang. Tapi sebelum itu pastikan keratan batang itu disimpan di tempat teduh atau direndam dalam air sebelum mula menanam. Ia dilakukan bagi mengelakkan keratan batang kekeringan air yang akan menyebabkan pokok mati. Ini kerana orkid mempunyai batang lembut dan bahagian batang itu adalah tempat penyimpanan air dan makanan.

Proses penanaman orkid mudah berbanding pokok lain kerana ia hanya perlu ditanam dalam pasu dan memerlukan tiga bahan utama. Selain pasu, rak juga sesuai digunakan kerana tanaman itu bersifat menjalar, tapi tidak boleh ditanam di tanah. Sekiranya ingin letakkan pada tanah, pastikan tanam dalam pasu dulu kemudian kambuskan dengan serbuk papan.

Tiga bahan utama yang diperlukan adalah bata tanah liat, arang dan serbuk papan sementara bekas tanaman sesuai termasuk pasu bunga plastik atau tanah liat yang berlubang. Bata tanah liat bersifat lembap jadi ia menyimpan kelembapan untuk pokok. Kemudian, di bahagian atas bata itu letakkan pula arang yang bersifat menyerap lembapan jadi ia dapat seimbangkan fungsi tanah liat itu tadi.

Selepas selesai, bunga orkid tersebut hendaklah disiram dengan air dan disembur baja sebelum diletakkan di tempah teduh.

Anda minat menanam? Kita GENG 😍😍

Jom join Geng Kebun Organik

Pokok pun boleh terbantut

Semua yang menanam pasti tahu pokok yang sihat biasanya kita tengok melalui keadaan fizikal yang segar dan tegap, pembentukan dahan serta ketahanan ranting. Malah, mempunyai daun yang segar dan sempurna daripada segi bentuk dan warna.

Tanaman yang bermasalah akan menyebabkan pertumbuhan pokok terbantut. Bukan manusia je boleh terbantut, tanaman pun boleh. Apa yang kita boleh kesan pokok yang bermasalah ni daripada segi warna daunnya dari hijau menjadi kekuningan, pokok nampak tak sihat, dah lama tak berbuah atau berbunga.

Antara kesan pertumbuhan tanaman daun pudar dan layu adalah disebabkan kekurangan air. Warna hijau akan jadi hilang dan pertumbuhan pokok menjadi terbantut dan bunga serta putik buah gugur.
Apabila kekurangan air berterusan daun akan bertukar warna menjadi perang dan gugur, akhirnya pokok akan mati.

Untuk mengatasi masalah ini kita kena gunakan bahan organik, sediakan sistem pengairan, buat sungkupan dan elakkan menanam pada kawasan terlalu curam.


Kekurangan nutrien makro juga antara punca pertumbuhan terjejas. Nutrien makro bagi pokok ialah nitrogen, posfat, kalsium, magnesium dan sulfur. Ia menyebabkan pokok dan akar terbantut, daun kekuningan, tanda klorosis antara urat daun hingga menyebabkan tumbuhan itu mati. Bagi mengatasinya pastikan penggunaan baja mencukupi.

Berlebihan air juga antara punca pertumbuhan pokok terganggu. Pembentukan akar akan terganggu kerana kekurangan udara dalam tanah. Pastikan saliran baik dan elakkan menanam di kawasan rendah yang mudah ditenggelami air.

 Anda minat menanam? Kita GENG

Jom join  Geng Kebun Organik

Tanaman Herba Penghias rumah

Kebanyakan orang yang menanam tanaman herba di kita cuma dapat jumpa dikawasan perkampungan je. Jarang nak nampak tanaman herba ditempat lain. Nak dapatkannya pun amatlah jarang dikawasan bandar kalau teringin nak makan kenalah cari dikawasan kampung.

Tanaman herba bukan sahaja boleh dimakan sama ada dijadikan ulam atau digunakan dalam masakan, malah dijadikan sebagai perubatan tradisional. Bagi yang tidak mempunyai ruang tanah untuk menanam di luar rumah, tanaman herba juga boleh ditanam di dalam pasu dan diletakkan di dalam rumah. Ia juga sesuai disusun di bahagian dapur, tidak memerlukan ruang yang besar dan mudah dijaga.

Antara pokok herba yang mudah didapati, boleh dimakan serta boleh dijadikan ubatan tradisional ialah :

1. Belalai gajah

Ia dikatakan mempunyai 1,001 kebaikan, antaranya dapat menurunkan kadar gula dalam darah serta mengatasi masalah kulit seperti kemerahan, gatal-gatal dan radang. Ia juga dipercayai dapat membantu mereka yang mengalami gastrik, melegakan senak perut, sakit belakang dan asma. Pokok ini sesuai di tanam di atas tanah, dalam pasu atau dalam polibag besar.


2. Kemangi

Ia memberikan pelbagai khasiat seperti ekstraknya ialah agen antioksida semula jadi yang mampu mencegah penuaan. Pokok kemangi juga digunakan sebagai ubat tradisional untuk menggantikan ‘pain killer’ kerana dapat mengurangkan bengkak dan rasa sakit. Ia ditanam di keliling rumah kerana dipercayai mampu menghalau nyamuk.


3. Pecah kaca

Dalam perubatan tradisional, ia digunakan untuk menyembuhkan penyakit seperti kencing manis, batu karang dan kanser.
Pokok ini mempunyai kalsium karbonat yang tinggi, jadi ia dapat melawaskan pembuangan air kecil.
Bagi merawat masalah kencing, makan daunnya mentah-mentah, namun bagi masalah kencing manis dan batu karang daunnya perlu direbus terlebih dulu sehingga mendidih sebelum minum airnya.


4. Daun pandan

Daunnya bukan saja mampu memberi aroma kepada makanan, malah digunakan sebagai pembungkus untuk masakan. Dalam perubatan, ia digunakan untuk membantu mengatasi masalah angin dan pencernaan serta merawat masalah kelemumur dan melebatkan rambut.



5. Bangun-bangun

Ia digunakan bagi merawat masalah seperti batuk, mual serta sakit kepala. Ia juga boleh dijadikan penawar kepada masalah asma dan bronkitis. Bagi yang tidak mempunyai penyakit, pokok bangun-bangun boleh dijadikan ulam dan menjadi petua awet muda. Ia juga dikatakan mampu melancarkan pengaliran darah dan memperbaiki tekstur kulit.





Anda minat menanam? Kita GENG 😍😍


Jom join Geng Kebun Organik.

Wednesday, February 20, 2019

Manfaat Buah Naga


Buah yang memiliki kulit luar seperti bentuk duri itu dikatakan mampu memberi perlindungan kepada tubuh daripada proses penuaan yang pantas dan masalah diabetes. Buah naga juga selamat dimakan oleh ibu hamil dan ibu menyusukan bayi di samping ia mengandungi vitamin C, kaya dengan asid lemak serta fosforus.

Ada enam manfaat yang diperoleh daripada buah eksotik ini.

1. Antipenuaan

Buah naga membantu mengekalkan keanjalan dan keremajaan kulit. Ianya membantu menentang radikal bebas di seluruh badan untuk menghalang pengaktifan sel kanser. Buah naga adalah sumber yang baik untuk mendapatkan manfaat antioksidan kerana ia mengandungi vitamin C.


2.  Menghalang kanser

Selain kaya dengan vitamin C, buah naga juga mengandungi karotena yang dikaitkan dengan antikarsinogenik termasuk mengurangkan jumlah penghasilan tumor. Selain itu, kandungan likopena yang berfungsi memberi warna merah kepada buah naga juga sering dikaitkan dengan manfaat dalam mengurangkan risiko mendapat kanser prostat.


 3. Kesihatan kardiovaskular

Buah naga membantu meningkatkan kesihatan jantung kerana ia mampu mengurangkan tahap kolesterol tidak baik. Buah eksotik ini juga adalah sumber yang baik bagi lemak garam mono yang membantu mengekalkan kesihatan fungsi jantung.

4.  Diabetes

Buah naga juga membantu menstabilkan tahap gula dalam darah seseorang. Ia juga membantu merencatkan gula yang berlebihan ketika mengambil makanan yang tinggi indeks glisemik. Buah berkenaan juga mempunyai kesan yang berharga dalam tekanan oksidatif daripada kekejangan aorta, masalah yang dikaitkan dengan kencing manis.

5. Penghadaman

Ia membantu memperbaiki pergerakan usus dengan memudahkan laluan di bahagian saluran penghadaman. Pengambilan buah ini boleh membantu mengurangkan masalah sembelit dan sindrom gangguan usus.

Kita kenalah tahu manfaat dan khasiat yang ada pada tanaman kita. Pelbagai cara yang kita boleh buat gunakan buah naga contohnya buat jus. Petik je buah naga kemudian dibuat jus dengan segar.

Anda minat menanam? Kita GENG 😍😍

Jom join Geng Kebun Organik.

Tuesday, February 19, 2019

Tak perlu beli dekat pasar

Zaman sekarang ramai yang mula mengamalkan menu yang seimbang dalam pemakanan seharian. Bermacam cara yang boleh dibuat dengan sayuran atau buah-buahan bagi menggalakkan terutamanya anak-anak untuk makan sayuran dan buah-buahan. Kebanyakan anak-anak kurang gemar untuk makan sayuran sebabkan sayuran atau buah-buahan yang dibeli dipasar kurang rasa segar dan kadangkala rasanya pahit walaupun telah dimasak.

Kan bagus kalau sayuran dan buah-buahan yang kita makan ditanam sendiri. Mungkin lebih segar dan lebih terjamin kualitinya sebab bila tanam sendiri kita mestilah takkan gunakan bahan kimia untuk tanaman kita. Banyak je tanaman yang kita boleh tanam sendiri dan tak perlu dah beli dekat mana-mana pasar. Antaranya :

1. Bawang Putih

Cara untuk menanamnya adalah bawang putih dibiarkan beberapa lama sehingga ia mula ditumbuhi dengan daun bawang. Kemudian, bawang putih tu perlu ditanam ke dalam tanah yang subur, sebolehnya elakkan tanah yang terlalu berair sebab boleh merosakkan tumbuhan tersebut kelak.

Cara untuk mengenalpasti sama ada bawang tersebut sudah boleh digali atau tidak ialah dengan melihat kepada perubahan daunnya yang akan menguning, menjadi coklat dan kemudiannya layu

Bawang juga berpotensi menurunkan gula dalam darah, menyembuhkan atau mencegah jangkitan selsema dan demam, mencegah keracunan makanan dan sebagainya.

2. Lobak Merah

Lobak merah selalunya ditanam di kawasan tanah tinggi dan bukan di kawasan tanah rendah. Ia akan mula bercambah selepas 1 hingga 3 minggu selepas ditanam dan selalunya sudah boleh mula dituai setelah 8 minggu.

Lobak merah boleh dikatakan sayur yang sesuai dimasak dengan apa cara sekalipun baik masakan kari, sup, gulai dan kacau-goreng.


Khasiat yang terkandung di dalam lobak merah mampu mencerahkan mata, menyihatkan kulit, bertindak sebagai antibodi, mencegah serangan sakit jantung.

3. Pak Choy

Mudah untuk menanam pak choy adalah ia boleh dilakukan dengan dua cara: secara biasa menggunakan tanah dan sistem hidroponik. Setelah melalui proses semaian, anak pokok pak choy bolehlah dipindahkan ke dalam tanah untuk ditanam secara biasa ataupun secara hidroponik.

Sistem hidroponik bermaksud sistem tanaman menggunakan air (sahaja) dan lebih sistematik dan menjimatkan ruang. Khasiat yang ada dalam pak choy ni mampu menjana sistem imun yang lancar, bertindak sebagai antioksida, dan merangsang fungsi sistem saraf dan otot yang baik.

4. Salad

Tanaman salad ini boleh ditanam menggunakan kaedah biasa ataupun kaedah hidroponik. Semua jenis salad secara umumnya mempunyai cara penanaman yang hampir sama, cuma berbeza dari segi keperluan cahaya dan suhu.

Salad ini sesuai ditanam sepanjang tahun dengan iklim di Malaysia, tapi waktu terbaik adalah di antara bulan April kerana cuaca tidak terlalu panas dan sejuk. Ia mengambil masa lebih kurang 6 minggu sebelum boleh mula dipetik.


5. Daun bawang

Ada tiga cara untuk menanam daun bawang iaitu menanam menggunakan umbi atau benihnya, menanam di dalam pot atau menanam daun bawang di dalam botol kaca. Ketiga-tiganya merupakan proses yang sangat mudah untuk dilakukan dan hanya memerlukan ruang yang sedikit.


6. Selasih

Yang nak menanam selasih, perlu disemai dalam tempoh 1 hingga 3 minggu sebelum boleh dialihkan ke medium tanaman yang sebenar. Selasih boleh mula dipetik apabila daunnya telah matang dan bersaiz lebih kurang 25 sentimeter. Khasiat selasih ialah mampu menjaga kesihatan jantung, menghalang radikal bebas yang merbahaya, mencegah kanser, dan baik untuk kesihatan kulit.


Anda minat menanam ? Kita GENG 😍😍

Jom join Geng Kebun Organik.



Monday, February 18, 2019

Ruang sempit pun boleh menanam


Bukan alasan tak ada tanah untuk menanam bagi mereka yang duduk di pangsapuri atau kondominium. Sekarang kita boleh tanam apa sahaja yang ada dengan pelbagai kaedah atau cara seperti vertical garden, walled pot atau pasu gantung.

Namun, ada beberapa perkara yang kita kena menitikberatkan sebelum nak menanam di kawasan yang sebegini. Seperti suhu dan pengamatan cahaya matahari. Ianya penting untuk memastikan jenis tanaman yang kita nak tanam tu sesuai di kawasan kita.
 
Tanaman yang boleh ditanam adalah tumbuhan yang menjalar dan memanjat. Ianya kerana tumbuhan jenis ini hanya memerlukan ruangan tanah yang sedikit sahaja. Tumbuhan jenis ini akan memanfaatkan seperti tiang atau pagar besi sebagai tempat untuk memanjat. Antaranya seperti tomato, cili padi, bawang.

Tanaman yang tidak digalakkan untuk ditanam adalah jenis berbunga kerana ianya memerlukan pengamatan cahaya matahari yang mencukupi. Kalau tidak, bunganya akan kudup. Tapi jika ruang balkoni anda mempunyai pengamatan cahaya matahari yang bagus, tidak salah untuk meletakkan tanaman bunga kerana ia akan memberikan seri pada balkoni anda.


 Penggunaan window box yang kebiasaanya diletakkan dihadapan tingkap dan ditanam dengan tumbuhan yang menjalar. Ianya sesuai untuk tanaman herba. Penggunaan ini juga mudah untuk kita mencapai tanaman dan memantau tanaman kita. Ianya juga mudah diselenggara dan ringan kerana kebanyakkannya ia menggunakan bahan daripada jenis PVC atau fiberglass.

Penggunaan pasu gantung pula biasanya digunakan untuk tumbuhan yang menjalar, hiasan atau berbunga lebat. Kaedah ini sesuai untuk tanaman bunga kerana selalunya ia digantung disisi bangunan, tiang, hujung bumbung dan kekisi. Pemilihan pasu gantung juga perlulah mempunyai lubang untuk memudahkan pengaliran air.


Anda minat menanam? Kita GENG 😍😍

Jom join Geng Kebun Organik






 

Sunday, February 17, 2019

Hilangkan racun serangga pada tanaman dengan tips ini



Racun yang ada pada tanaman kita mungkin akan membawa kepada kesan kesihatan yang serius terutamanya dalam jangka masa panjang. Racun ini terbahagi kepada dua jenis iaitu racun serangga dan racun kulat. Ianya memberi kesan bahaya dengan menganggu sistem saraf kita. Kesan ini lebih tinggi kepada kanak-kanak berbanding dewasa.


Racun perosak yang bertoksik ini pada jangka masa panjang juga akan memberi kesan kepada organ hati, buah pinggang dan hormon endokrin manusia. Apabila ia memberi kesan kepada hormon endokrin, badan kita mudah mendapat penyakit metabolik seperti sakit jantung.


Admin nak share cara untuk bersihkan sisa racun serangga pada tanaman kita :

1. Basuh dan gosok dengan air
Sisa racun boleh dikurangkan dengan membasuh tanaman dan menggosoknya di bawah aliran air sejuk. Pastikan juga menggosok di celahan buah dan sayuran di mana racun serangga ini berkumpul untuk memastikan sayuran kita betul-betul bersih.
 

2. Basuh dengan air garam
Membasuh menggunakan garam dapat menjadikan ulat yang ada akan keluar dan sayuran akan jadi bersih dan bebas ulat.


3. Cuka putih
 Cuka dapat membunuh kuman dan juga membuang sisa racun. Caranya: Rendam buah/sayur ke dalam 1 bahagian cuka dan 10 bahagian air selama 30-60 minit.


4. Lemon dan sodium bikarbonat
Bahan ini dapat membunuh kuman dan juga mampu meneutralkan toksik daripada sisa tersebut.
Caranya: Masukkan satu cawan jus lemon dan dua camca besar baking soda dalam botol spray. Spray pada makanan dan lap (buah) atau basuh dengan air.

Bila sayuran atau buah yang kita makan bersih dan bebas dari sisa bahan kimia, tak adalah penyakit yang akan datang. Amalkan cara-cara ni untuk pastikan kehidupan seharian kita sentiasa sihat. 😊


Anda minat menanam ? Kita GENG 😍😍

Jom join Geng Kebun Organik

Thursday, February 14, 2019

Tip hasilkan bunga ros lebat

Ramai yang sukakan dan kadang ada yang sampai obses dengan bunga ros ni sebabkan warnanya yang pelbagai dan cantik bila berkembang. Beli dekat nurseri elok kembang cantik je, bila dah letak dekat rumah 2 3 hari pokok dah tak berbunga. Hakikatnya bunga ros mudah untuk ditanam, tapi sukar untuk menjaganya kerana mudah mendapat penyakit pokok. Cik Mila nak share tips untuk melebatkan bunga ros.


Yang pertama sekali adalah buang daun-daun yang telah rosak dan mula timbul warna kuning.

Yang kedua adalah bagi bunga yang dah berkembang dan mula nak layu, ia perlu dicantas dan tanam pada tanah untuk hasilkan anak baru. Namun untuk hasilkan anak pokok, potongan perlu disertakan dengan 4-5 helai daun dari bahagian bawah bunga. 

Yang ketiga, penggunaan baja dengan kadar yang tertentu bagi pokok bunga. Pembajaan akan membekalkan kalsium dan nutrien bagi pertumbuhan pokok bunga.

Yang keempat, lakukan penanaman semula dengan saiz pasu yang lebih besar untuk memberi keselesaan pada pasu supaya akar pokok bebas bergerak.

Yang keenam, pastikan pokok bunga ros menerima pengamatan cahaya terutamanya diwaktu pagi selama 6 jam sehari.

Yang ketujuh, penyiraman perlu dilakukan sekurang-kurangnya 2 kali sehari. Namun, ketika musim hujan, pastikan medium tanaman kering sebelum membuat penyiraman.


Anda minat menanam? Kita GENG 😍😍

Jom join Geng Kebun Organik

Wednesday, February 13, 2019

Tersenyum tengok tanaman sendiri

Bagi yang dibesarkan dalam persekitaran kampung atau kawasan yang mempunyai tanah lapang di rumah ia memberi kelebihan kepada sesiapa sahaja menanam pelbagai jenis tanaman di kawasan tersebut seperti sayur dan buah. Ia akan menjadi rugi jika ada tanah lapang dibiarkan begitu saja tanpa diusahakan.


Tambah pula apabila ada kesukaran mendapatkan sayur atau buah di pasar menyebabkan si peminat tanaman cukup teruja untuk menanam dibelakang rumah.
Apabila kita semakin mahir mengenai teknik menanam pokok dan cara penjagaan, kita boleh mula memberanikan diri untuk menanam dalam pasu.


Mulanya memang kita tidak akan percaya pasu ini dapat menampung akar pokok. Selepas pokok semakin tinggi kita perlu memindahkannya ke kawasan yang lebih lapang bagi memudahkan penjagaan. Bagi sesiapa yang tidak tahu penanaman tumbuhan herba lebih mudah dijaga sepeti pudina, pegaga, kucai dan sebagainya. Ia tidak memerlukan penjagaan rapi seperti pokok bunga atau buah-buahan

Kita juga perlu melakukan aktiviti pembajaan setiap dua minggu dan semburan racun serangga perosak pada setiap minggu bagi memastikan tanaman bebas serangga serta mengelak daripada dimakan ulat dan siput.

 Bagi yang memang minat menanam pasti gembira apabila menerima sokongan keluarga terutama dalam urusan membeli benih pokok dan peralatan tanaman. Selain itu pada hujung minggu ahli keluarga juga boleh turut membantu menyiram sayur-sayuran bersama-sama.


Anda minat menanam? Kita GENG 😍😍

Jom join Geng Kebun Organik



Tuesday, February 12, 2019

Lebih sihat dengan berkebun

Selain dapat mengeluarkan peluh untuk menjaga kesihatan diri, hobi bercucuk tanam boleh menjadi terapi yang menenangkan fikiran. Bukan sekadar hobi, minat bercucuk tanam boleh menjadikan diri kita sentiasa gembira dan memiliki emosi stabil terutama selepas selesai bercucuk tanam. Ianya kerana penat lelah setelah menanam akan hilang apabila keluar hasil yang dapat menyenangkan hati kita.


Yang sebelum ini mempunyai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, mudah penat dan sering sakit-sakit sendi badan akan semakin beransur sihat hari demi hari kerana aktiviti bercucuk tanam yang membuat kita mengeluarkan peluh. Selain dapat mengeluarkan peluh, hasil tanaman seperti sayur dan buah yang kita tanam sendiri pun dapat membuatkan diri kita lebih sihat kerana lebih selamat daripada bahan kimia.


Sesetengah orang walaupun sangat sukakan menanam tetapi jika penat mereka akan berehat sambil duduk memerhatikan kebun mini sendiri. Ada saja kerja yang hendak dilakukan apabila berada di kebun mini sendiri dan inilah aktiviti yang dapat membuatkan kita berpeluh. Apabila berpeluh badan terasa lebih segar dan minda pun lebih tenang.


Gembira setiap kali melihat tanaman sendiri mula mengeluarkan hasil, ia sedikit sebanyak mempengaruhi emosi dalam diri sekaligus menstabilkan tahap kesihatan diri. Setiap kali bercucuk tanam di sekeliling rumah dapat membuatkan diri kita berpeluh dan ia boleh dijadikan sebagai pengganti senaman harian.


Sejuk mata memandang tumbuhan berwarna hijau yang ditanam selain itu dapat juga berkongsi hasil tanaman kepada jiran dan ahli keluarga terdekat. Disebabkan ditanam sendiri, kita tidak perlu bimbang dengan faktor keselamatan dan kebersihan kerana segalanya akan dijaga sendiri bermula daripada proses menanam sehinggalah menuai dan pembajaan.


Anda minat menanam? Kita GENG 😍

Jom join Geng Kebun Organik

Monday, February 11, 2019

Seronok lihat tanaman berbuah


Menikmati sayur-sayuran serta buah-buahan segar yang ditanam sendiri sememangnya mendatangkan kepuasan berbeza yang sukar digambarkan dengan kata-kata oleh mereka yang sering bercucuk tanam. Selain segar dan menjimatkan kos, aktiviti berkebun menggunakan sebaik mungkin ruang yang ada di laman rumah mampu mewujudkan suasana mendamaikan terutama ketika memandang tumbuhan hijau itu.

Bercucuk tanam adalah hobi dan aktiviti yang mempunyai banyak manfaat dan boleh menyihatkan badan, dan sesuai dilakukan dalam pelbagai peringkat usia. Selain hobi, aktiviti ini memudahkan kita terutama apabila memerlukan bahan ketika memasak seperti serai atau kunyit dan lain-lain, hanya perlu ambil di laman rumah

Perkara paling menyeronokkan setiap kali melihat tanaman berbuah dengan lebih banyak. Hasil buahnya kita boleh dimakan atau dijual ataupun diberi kepada jiran dan ahli keluarga. Ada juga yang menggunakan hasil buah dijadikan makanan seperti buah mangga dijadikan jeruk atau air minuman. Ianya juga salah satu cara untuk kita jadikan sebagai pendapatan.

Disebabkan ditanam sendiri, kita tidak perlu bimbang dengan faktor keselamatan dan kebersihan kerana segalanya telah dijaga sendiri bermula daripada proses menanam sehinggalah menuai sampailah berbuah. Sukar digambarkan bagaimana hasilnya namun hanya individu yang meminati hobi ini dapat memahami dan merasai nikmat sebenar hasil daripada bercucuk tanam.







Anda minat menanam? Kita GENG 😍😍

Jom join Geng Kebun Organik.

Sunday, February 10, 2019

Bercakap dengan pokok

Bercakap dan mengomel di hadapan tanaman memberikan kepuasan yang tidak terhingga, apatah lagi apabila melihat tanaman mula membesar. Saat tangan bermain dengan tanah atau menanam biji benih membuatkan seseorang leka dengannya dan dapat melepaskan tekanan yang ada dalam diri.


Bagi mereka yang menjadikan berkebun sebagai aktiviti harian selepas pulang dari kerja. Mereka ini turut mengakui dengan melakukan aktiviti berkebun di belakang rumah hidup lebih tenang dan ceria kerana bercakap dengan pokok umpama bercakap dengan manusia walaupun pokok tak dapat membalas balik.


Disebabkan kekangan waktu sesetengah orang yang menanam disebabkan bekerja, mereka hanya dapat meluangkan masa melihat tanaman sebaik pulang ke rumah. Ada kalanya mereka sanggup keluar ke kebun kecil mereka sendiri pada waktu malam untuk melihat tanaman kesayangan bagi memastikan pertumbuhan tanaman terkawal. Bagi memudahkan urusan pengalihan tempat, kebanyakan tanaman akan ditanam di dalam pasu dan polibeg.


Bagi sesetengah orang yang tidak menanam, dia menganggap bercakap dengan pokok ini tidak waras kerana pokok tidak boleh bercakap. Tapi bagi mereka yang menggemarkan menanam, bercakap dengan pokok adalah salah satu proses untuk pokok itu membesar dan mengeluarkan hasil. Kalau tidak, pokok itu akan merajuk kata mereka. Agak kelakar tapi ianya adalah perkara yang memang sering orang akan lakukan.


Anda minat menanam? Kita GENG 😍

Jom join Geng Kebun Organik


Thursday, February 7, 2019

Petik sayur belakang rumah je

Kalau ditengok zaman sekarang dah ramai yang mencuba untuk bercucuk tanam sendiri. Paling selalu dijumpa mereka yang menanam sayur sendiri. Sayur sawi, kobis bunga, kunyit, serai, daun pandan, cili dan pelbagai jenis lagi lah.

Bukan apa, bila dah menanam sendiri mudah kita nak masak atau guna untuk kehidupan seharian kita. Bila nak masak petik je dari pokok yang kita tanam. Ini merupakan inisiatif yang bagus sebab kadang-kadang ada sesetengah orang yang tak sempat nak beli kat luar.

Bila takda bahan, nak memasak pun jadi tertangguh. Bagi memudahkan untuk masa akan datang, dengan menanam sendiri sahajalah merupakan cara terbaik. Ambil sahaja biji benih yang hendak ditanam kemudian menyemai anak pokok itu di dalam pasu dan menunggu masa matang supaya boleh dipetik.

Memang sangat menjimatkan dan memudahkan urusan memasak apabila kita tidak lagi perlu membelinya di kedai. Ini akan menambahkan minat memasak menjadikan proses di dapur dapat dilakukan dengan lancar. Malah ada tanaman yang turut boleh dijadikan ulam-ulaman seperti sabung nyawa, tenggek burung, pegaga dan beluntas sebagai hidangan setiap hari

Menyentuh berkenaan penjagaan tanaman dengan menggunakan baja organik yang diberikan dua minggu sekali. Kita perlu rajin menggemburkan tanah, membuang rumput liar dan daun kering di kawasan sekeliling  Kita juga perlu memastikan daun-daun dan batang pokok bebas fungus dan kulat supaya ia kelihatan menghijau dan nampak segar. Serangga dan ulat juga harus dipantau kerana boleh memusnahkan daun-daun hijau ini.

Anda minat menanam? KITA GENG 😍😍

Jom join Geng Kebun Organik

Wednesday, February 6, 2019

Tanam sayur dengan mudah dalam pasu

Ramai yang fikir nak menanam adalah sesuatu perkara yang susah. Sebab salah satunya pokok tak menjadi dan cepat mati. Lebih mudah beli je kat pasar atau kedai. Kalau beli kat pasar kita takkan tahu kualiti sayur tersebut samada bebas dari bahan kimia ataupun tidak. Kita tidak nampak proses penanaman sayur yang ada dipasar.


Kalau kita yang tanam sendiri lebih selamat. Sudah tentu pembajaan, penyemburan atau penyiraman tanaman kita lebih terjaga. Dan sudah pasti lebih segar dan bebas bahan kimia. Sebenarnya ada je sayuran yang kita boleh tanam dalam pasu. Antaranya ialah :


Sawi

Boleh ditanam dalam bekas yang kecil seperti pasu atau planter box. Sawi antara sayur yang sangat sesuai ditanam kerana boleh dimakan dan dimasak dalam apa cara sekalipun dan ianya digemari dalam kalangan ahli keluarga.



Tomato

Tak susah pun untuk tanam pokok tomato dalam pasu. Kita cuma perlu potong buah tomato dan tanamkan dalam tanah. Bila dah tumbuh sedikit bolehlah dipindahkan ke dalam pasu yang lebih besar. Siapa yang taktahu boleh tengok cara pindahkan anak biji benih tomato ni. Dari segi penjagaannya pula, pokok tomato perlu rajin untuk disiram kerana pokok ini mudah untuk mendapat penyakit.




Kangkung

Kangkung adalah salah satu tanaman yang mudah ditanam dengan kaedah hidroponik. Sayur kangkung yang hanya menggunakan air untuk sokongan pertumbuhan dengan kaedah hidroponik yang mudah dibuat kerana air yang ditakungkan dianggap sebagai medium tumbesaran.




Salad

Salad juga merupakan sayur yang mudah untuk ditanam dengan kaedah hirdroponik sahaja. Ianya juga memerlukan sokongan air yang banyak yang dijadikan sebagai medium tumbesaran.







 Kobis bunga

Tak susah juga untuk tanam kobis dalam pasu. Kita cuma perlu menyemai anak pokok yang terhasil dari pokok induknya. Cara yang paling praktikal ialah menanam didalam pasu tanaman, polibeg atau bekas-bekas yang sesuai. Semai terlebih dahulu benih bunga kobis dalam cawan plastik terlebih dahulu. Apabila benih sudah bercambah dan berusia kira-kira 2 minggu. Kita boleh mengalihkan anak pokok kobis tersebut pada pasu.



Cili

Cili salah satu pokok yang mudah ditanam tapi cuma perlukan kesabaran jelah. Caranya ambil sahaja benih cili yang digunakan untuk masak dan semaikan dalam bekas yang kecil. Bila dah tumbuh sedikit anak pokok bolehlah dipindahkan ke dalam bekas yang lebih besar ataupun ke dalam pasu.






Anda minat menanam? Kita GENG😍😍

JOM JOIN GENG KEBUN ORGANIK. 

Tuesday, February 5, 2019

Kos perbelanjaan jimat dengan berkebun

Kos sara hidup yang semakin meningkat menyebabkan ramai antara kita terpaksa mengamalkan perbelanjaan berhemat termasuk berjimat cermat dalam menguruskan perbelanjaan dapur.
Namun, bagi mereka yang kreatif dan bijak akan menggunakan sebaik mungkin ruang yang ada di rumah, mereka boleh mewujudkan konsep kebun di laman sendiri.


Kita boleh mewujudkan ruang yang menarik jika bijak menyusun atur tanaman dan mungkin juga boleh mewujudkan taman mini untuk melengkapkan landskap halaman.


Bersesuaian dengan cara kita untuk menyusun atur, taman kebun mini ini boleh mengandungi tanaman yang boleh dimakan seperti sayur-sayuran, ulam-ulaman dan pokok herba. Kebiasaannya, pokok yang ditanam adalah tumbuhan berjangka pendek, iaitu hidup dalam tempoh satu hingga enam bulan.


Ia bukan saja dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan di dapur, tetapi mampu menjadi lokasi sesuai untuk terapi minda selepas penat seharian di tempat kerja.


Sebenarnya bukan susah hendak mewujudkan taman kebun mini. Maklumat cara untuk membuatnya begitu mudah dicari dan banyak di Internet, bergantung kepada diri sama ada hendak atau tidak mengusahakannya

Ia menjadi satu kepuasan apabila dapat masak dan makan hasil sayur yang ditanam sendiri. Sesetengah orang kalau hendak beli sayur di pasar kadang-kadang tidak habis dimakan, jadi dengan ada kebun sendiri kita boleh makan dalam jumlah yang diperlukan saja.


Sesetengah orang turut mengakui dapat banyak berjimat selepas menanam sendiri sayuran kerana ada antaranya seperti cili yang dijual agak mahal dengan harga yang tinggi tapi kuantitinya kurang. Penggunaannya pun hanya boleh dimasak 2 hingga 3 kali sahaja. Berbeza dengan kalau kita menanam sendiri. Bila perlu petik sahaja dan yang lebih boleh disimpan untuk digunakan .


3 JENIS POKOK BUNGA HIASAN INDOOR YANG MUDAH DITANAM DI DALAM RUMAH

Tak ceria rumah tanpa pokok hiasan hidup tiada diruang tamu. Kebanyakan suri rumah menggunakan pokok hiasan palsu untuk diletakkan di ruang ...