Thursday, February 6, 2020

KAEDAH PEMBIAKAN TANAMAN PART 1 (BIJI BENIH)




Pembiakan adalah satu proses di mana tiap-tiap organisma menambah dari segi bilangan individu beranak dan berkembang dalam peredaran masa. Tumbuhan membiak dan berkembang dengan dua cara :

•seksual; contoh biji benih, spora•Tampang (vegetatif); contoh keratan, belahan, cantuman, organ-organ khas dan lain-lain.



Biji benih


Kebanyakan tumbuhan dibiak dengan biji benih. Contohnya pokok-pokok bunga semusim, pokok saka dan juga daripada jenis renek walaupun pokok-pokok ini boleh dibiak secara tampang.


Kebaikan Pembiakan Secara Biji Benih


• Boleh menghasilkan baka-baka baru• Dapat menyediakan pokok-pokok sebagai pokok penanti untuk cantuman• Murah dan menghasilkan lebih banyak pokok• Anak pokok mungkin lebih cergas (hybrid vigour) berbanding dengan induknya.


Keburukan Pembiakan Secara Biji Benih

• Biji benih mungkin mempunyai masa rehat (dormancy)• Mengambil masa yang panjang untuk matang• Kemungkinan menghasilkan tumbuhan yang berbeza daripada induknya• Setengah tumbuhan hanya dapat dibiakkan pada masa-masa tertentu kerana pengeluaran buah dan biji benihnya bermusim


Pemilihan Biji benih


Biji benih dengan ciri-ciri berikut perlu dipilih:
• Matang• Tulen (tidak bercampur dengan biji benih dari baka lain)• Berisi, segar dan bersih dari kekotoran• Bernas (mempunyai keupayaan untuk bercambah)• Bebas dari penyakit dan perosak



Biji benih yang hendak digunakan mestilah diambil dari buah-buah yang matang atau masak. Biji itu dibersihkan. Biji-biji yang telah dipilih itu kemudian dikeringkan di tempat yang terbuka dan ternaung.


Biji benih perlu cukup kering supaya tahan lama. Dalam keadaan biasa seperti di Malaysia biji benih tidak dapat disimpan lama dan akan kehilangan daya percambahan dengan cepat. 

Jika hendak disimpan lama, biji benih perlulah disimpan di tempat bersuhu dan peratus lembapan yang rendah. Jika benih dibeli, periksa tarikh luputnya. Peratus percambahan benih menurun apabila disimpan terlalu lama.


Percambahan biji benih


Percambahan biji benih bergantung pada faktor-faktor seperti peratus lembapan, suhu, cahaya dan oksigen. Percambahan biji benih yang tidak serentak disebabkan oleh faktor-faktor fizikal, fisiologikal dan persekitaran. Fenomena ini berlaku oleh kerana kulit biji benih (testa) tidak telap air atau biji benih mengeluarkan bahan beracun dan lain-lain faktor dalaman. Kadangkala biji benih memerlukan rawatan tertentu untuk mempercepatkan percambahan.


Rawatan percambahan biji benih


Terdapat beberapa cara rawatan untuk percambahan biji benih:

• Pelelasan (scarification)

Satu proses dimana kulit biji benih dirawat supaya biji benih telap air. Cara-caranya biasa dilakukan ialah membuang atau mengikis testa, merendam biji benih dalam asid atau air panas.

• Stratifikasi
Stratifikasi adalah proses melembutkan testa dengan meletakkan biji benih dalam timbunan pasir, tanah atau habuk papan yang basah pada suhu yang turun naik.


• Vernalisasi
Vernalisasi adalah satu proses menyebabkan biji-biji benih mengeluarkan hormon untuk percambahan dengan meletakkan biji benih pada suhu yang rendah.


• Pemeraman (fermentation)
Pemeraman adalah satu proses merendam biji benih ke dalam air atau menyimpannya dalam beg plastik yang diikat untuk menanggalkan selaput biji benih.



Menyemai Biji benih

a. Rawatan sebelum menyemai
Biji benih yang hendak disemai sebaik-baiknya dirawat terlebih dahulu bagi mengelakkan dari serangan penyakit terutama penyakit dari jenis kulat.



b. Medium Percambahan
Medium percambahan yang digunakan harus mempunyai ciri-ciri berikut:


• Mampu menyokong anak-anak benih,• Menyimpan air secukupnya• Mempunyai cukup rongga untuk pengudaraan dan penembusan akar• Bebas dari biji benih rumpai



c. Cara menyemai
Biji benih disemai mengikut saiznya. Terdapat perbezaan teknik menyemai untuk biji benih halus dan kasar.



  • Biji benih halus


1. Sediakan campuran tanah dan masukkan kedalam bekas semaian.
2. Siram bekas ini sehingga lembab.
3. Biji benih halus digaul dengan pasir halus dengan nisbah 1 bahagian benih : beberapa bahagian pasir halus dan kering untuk memudah dan meratakan taburan biji benih atas permukaan tanah.
4. Selepas ditabur, tutup biji benih dengan satu lapisan tanah peroi dan disiram.
5. Bekas menyemai boleh ditutup dengan gelas atau plastik lutsinar hingga benih bercambah.


  • Biji benih kasar


1. Sediakan medium percambahan, dan bekas semaian yang sesuai.2. Pilih biji benih yang bernas dengan merendamkannya di dalam air. Biji benih yang timbuldibuang. Semai secepat mungkin dengan menggunakan teknik yang betul.3. Setelah biji benih mengeluarkan 2-3 helai daun sebenar (true leaves) bolehlah diubah kedalam beg politena.


Sekian dulu tips kali ini. Jangan lupa like page Baja Milagro untuk dapatkan banyak lagi tips pertanian.


-----------------------------------------------------------------Untuk dapatkan baja Milagro, hubungi ejen-ejen berhampiran anda sekarang!

No comments:

Post a Comment

3 JENIS POKOK BUNGA HIASAN INDOOR YANG MUDAH DITANAM DI DALAM RUMAH

Tak ceria rumah tanpa pokok hiasan hidup tiada diruang tamu. Kebanyakan suri rumah menggunakan pokok hiasan palsu untuk diletakkan di ruang ...