Friday, February 22, 2019

Pokok pun boleh terbantut

Semua yang menanam pasti tahu pokok yang sihat biasanya kita tengok melalui keadaan fizikal yang segar dan tegap, pembentukan dahan serta ketahanan ranting. Malah, mempunyai daun yang segar dan sempurna daripada segi bentuk dan warna.

Tanaman yang bermasalah akan menyebabkan pertumbuhan pokok terbantut. Bukan manusia je boleh terbantut, tanaman pun boleh. Apa yang kita boleh kesan pokok yang bermasalah ni daripada segi warna daunnya dari hijau menjadi kekuningan, pokok nampak tak sihat, dah lama tak berbuah atau berbunga.

Antara kesan pertumbuhan tanaman daun pudar dan layu adalah disebabkan kekurangan air. Warna hijau akan jadi hilang dan pertumbuhan pokok menjadi terbantut dan bunga serta putik buah gugur.
Apabila kekurangan air berterusan daun akan bertukar warna menjadi perang dan gugur, akhirnya pokok akan mati.

Untuk mengatasi masalah ini kita kena gunakan bahan organik, sediakan sistem pengairan, buat sungkupan dan elakkan menanam pada kawasan terlalu curam.


Kekurangan nutrien makro juga antara punca pertumbuhan terjejas. Nutrien makro bagi pokok ialah nitrogen, posfat, kalsium, magnesium dan sulfur. Ia menyebabkan pokok dan akar terbantut, daun kekuningan, tanda klorosis antara urat daun hingga menyebabkan tumbuhan itu mati. Bagi mengatasinya pastikan penggunaan baja mencukupi.

Berlebihan air juga antara punca pertumbuhan pokok terganggu. Pembentukan akar akan terganggu kerana kekurangan udara dalam tanah. Pastikan saliran baik dan elakkan menanam di kawasan rendah yang mudah ditenggelami air.

 Anda minat menanam? Kita GENG

Jom join  Geng Kebun Organik

Tanaman Herba Penghias rumah

Kebanyakan orang yang menanam tanaman herba di kita cuma dapat jumpa dikawasan perkampungan je. Jarang nak nampak tanaman herba ditempat lain. Nak dapatkannya pun amatlah jarang dikawasan bandar kalau teringin nak makan kenalah cari dikawasan kampung.

Tanaman herba bukan sahaja boleh dimakan sama ada dijadikan ulam atau digunakan dalam masakan, malah dijadikan sebagai perubatan tradisional. Bagi yang tidak mempunyai ruang tanah untuk menanam di luar rumah, tanaman herba juga boleh ditanam di dalam pasu dan diletakkan di dalam rumah. Ia juga sesuai disusun di bahagian dapur, tidak memerlukan ruang yang besar dan mudah dijaga.

Antara pokok herba yang mudah didapati, boleh dimakan serta boleh dijadikan ubatan tradisional ialah :

1. Belalai gajah

Ia dikatakan mempunyai 1,001 kebaikan, antaranya dapat menurunkan kadar gula dalam darah serta mengatasi masalah kulit seperti kemerahan, gatal-gatal dan radang. Ia juga dipercayai dapat membantu mereka yang mengalami gastrik, melegakan senak perut, sakit belakang dan asma. Pokok ini sesuai di tanam di atas tanah, dalam pasu atau dalam polibag besar.


2. Kemangi

Ia memberikan pelbagai khasiat seperti ekstraknya ialah agen antioksida semula jadi yang mampu mencegah penuaan. Pokok kemangi juga digunakan sebagai ubat tradisional untuk menggantikan ‘pain killer’ kerana dapat mengurangkan bengkak dan rasa sakit. Ia ditanam di keliling rumah kerana dipercayai mampu menghalau nyamuk.


3. Pecah kaca

Dalam perubatan tradisional, ia digunakan untuk menyembuhkan penyakit seperti kencing manis, batu karang dan kanser.
Pokok ini mempunyai kalsium karbonat yang tinggi, jadi ia dapat melawaskan pembuangan air kecil.
Bagi merawat masalah kencing, makan daunnya mentah-mentah, namun bagi masalah kencing manis dan batu karang daunnya perlu direbus terlebih dulu sehingga mendidih sebelum minum airnya.


4. Daun pandan

Daunnya bukan saja mampu memberi aroma kepada makanan, malah digunakan sebagai pembungkus untuk masakan. Dalam perubatan, ia digunakan untuk membantu mengatasi masalah angin dan pencernaan serta merawat masalah kelemumur dan melebatkan rambut.



5. Bangun-bangun

Ia digunakan bagi merawat masalah seperti batuk, mual serta sakit kepala. Ia juga boleh dijadikan penawar kepada masalah asma dan bronkitis. Bagi yang tidak mempunyai penyakit, pokok bangun-bangun boleh dijadikan ulam dan menjadi petua awet muda. Ia juga dikatakan mampu melancarkan pengaliran darah dan memperbaiki tekstur kulit.





Anda minat menanam? Kita GENG 😍😍


Jom join Geng Kebun Organik.

Wednesday, February 20, 2019

Manfaat Buah Naga


Buah yang memiliki kulit luar seperti bentuk duri itu dikatakan mampu memberi perlindungan kepada tubuh daripada proses penuaan yang pantas dan masalah diabetes. Buah naga juga selamat dimakan oleh ibu hamil dan ibu menyusukan bayi di samping ia mengandungi vitamin C, kaya dengan asid lemak serta fosforus.

Ada enam manfaat yang diperoleh daripada buah eksotik ini.

1. Antipenuaan

Buah naga membantu mengekalkan keanjalan dan keremajaan kulit. Ianya membantu menentang radikal bebas di seluruh badan untuk menghalang pengaktifan sel kanser. Buah naga adalah sumber yang baik untuk mendapatkan manfaat antioksidan kerana ia mengandungi vitamin C.


2.  Menghalang kanser

Selain kaya dengan vitamin C, buah naga juga mengandungi karotena yang dikaitkan dengan antikarsinogenik termasuk mengurangkan jumlah penghasilan tumor. Selain itu, kandungan likopena yang berfungsi memberi warna merah kepada buah naga juga sering dikaitkan dengan manfaat dalam mengurangkan risiko mendapat kanser prostat.


 3. Kesihatan kardiovaskular

Buah naga membantu meningkatkan kesihatan jantung kerana ia mampu mengurangkan tahap kolesterol tidak baik. Buah eksotik ini juga adalah sumber yang baik bagi lemak garam mono yang membantu mengekalkan kesihatan fungsi jantung.

4.  Diabetes

Buah naga juga membantu menstabilkan tahap gula dalam darah seseorang. Ia juga membantu merencatkan gula yang berlebihan ketika mengambil makanan yang tinggi indeks glisemik. Buah berkenaan juga mempunyai kesan yang berharga dalam tekanan oksidatif daripada kekejangan aorta, masalah yang dikaitkan dengan kencing manis.

5. Penghadaman

Ia membantu memperbaiki pergerakan usus dengan memudahkan laluan di bahagian saluran penghadaman. Pengambilan buah ini boleh membantu mengurangkan masalah sembelit dan sindrom gangguan usus.

Kita kenalah tahu manfaat dan khasiat yang ada pada tanaman kita. Pelbagai cara yang kita boleh buat gunakan buah naga contohnya buat jus. Petik je buah naga kemudian dibuat jus dengan segar.

Anda minat menanam? Kita GENG 😍😍

Jom join Geng Kebun Organik.

Tuesday, February 19, 2019

Tak perlu beli dekat pasar

Zaman sekarang ramai yang mula mengamalkan menu yang seimbang dalam pemakanan seharian. Bermacam cara yang boleh dibuat dengan sayuran atau buah-buahan bagi menggalakkan terutamanya anak-anak untuk makan sayuran dan buah-buahan. Kebanyakan anak-anak kurang gemar untuk makan sayuran sebabkan sayuran atau buah-buahan yang dibeli dipasar kurang rasa segar dan kadangkala rasanya pahit walaupun telah dimasak.

Kan bagus kalau sayuran dan buah-buahan yang kita makan ditanam sendiri. Mungkin lebih segar dan lebih terjamin kualitinya sebab bila tanam sendiri kita mestilah takkan gunakan bahan kimia untuk tanaman kita. Banyak je tanaman yang kita boleh tanam sendiri dan tak perlu dah beli dekat mana-mana pasar. Antaranya :

1. Bawang Putih

Cara untuk menanamnya adalah bawang putih dibiarkan beberapa lama sehingga ia mula ditumbuhi dengan daun bawang. Kemudian, bawang putih tu perlu ditanam ke dalam tanah yang subur, sebolehnya elakkan tanah yang terlalu berair sebab boleh merosakkan tumbuhan tersebut kelak.

Cara untuk mengenalpasti sama ada bawang tersebut sudah boleh digali atau tidak ialah dengan melihat kepada perubahan daunnya yang akan menguning, menjadi coklat dan kemudiannya layu

Bawang juga berpotensi menurunkan gula dalam darah, menyembuhkan atau mencegah jangkitan selsema dan demam, mencegah keracunan makanan dan sebagainya.

2. Lobak Merah

Lobak merah selalunya ditanam di kawasan tanah tinggi dan bukan di kawasan tanah rendah. Ia akan mula bercambah selepas 1 hingga 3 minggu selepas ditanam dan selalunya sudah boleh mula dituai setelah 8 minggu.

Lobak merah boleh dikatakan sayur yang sesuai dimasak dengan apa cara sekalipun baik masakan kari, sup, gulai dan kacau-goreng.


Khasiat yang terkandung di dalam lobak merah mampu mencerahkan mata, menyihatkan kulit, bertindak sebagai antibodi, mencegah serangan sakit jantung.

3. Pak Choy

Mudah untuk menanam pak choy adalah ia boleh dilakukan dengan dua cara: secara biasa menggunakan tanah dan sistem hidroponik. Setelah melalui proses semaian, anak pokok pak choy bolehlah dipindahkan ke dalam tanah untuk ditanam secara biasa ataupun secara hidroponik.

Sistem hidroponik bermaksud sistem tanaman menggunakan air (sahaja) dan lebih sistematik dan menjimatkan ruang. Khasiat yang ada dalam pak choy ni mampu menjana sistem imun yang lancar, bertindak sebagai antioksida, dan merangsang fungsi sistem saraf dan otot yang baik.

4. Salad

Tanaman salad ini boleh ditanam menggunakan kaedah biasa ataupun kaedah hidroponik. Semua jenis salad secara umumnya mempunyai cara penanaman yang hampir sama, cuma berbeza dari segi keperluan cahaya dan suhu.

Salad ini sesuai ditanam sepanjang tahun dengan iklim di Malaysia, tapi waktu terbaik adalah di antara bulan April kerana cuaca tidak terlalu panas dan sejuk. Ia mengambil masa lebih kurang 6 minggu sebelum boleh mula dipetik.


5. Daun bawang

Ada tiga cara untuk menanam daun bawang iaitu menanam menggunakan umbi atau benihnya, menanam di dalam pot atau menanam daun bawang di dalam botol kaca. Ketiga-tiganya merupakan proses yang sangat mudah untuk dilakukan dan hanya memerlukan ruang yang sedikit.


6. Selasih

Yang nak menanam selasih, perlu disemai dalam tempoh 1 hingga 3 minggu sebelum boleh dialihkan ke medium tanaman yang sebenar. Selasih boleh mula dipetik apabila daunnya telah matang dan bersaiz lebih kurang 25 sentimeter. Khasiat selasih ialah mampu menjaga kesihatan jantung, menghalang radikal bebas yang merbahaya, mencegah kanser, dan baik untuk kesihatan kulit.


Anda minat menanam ? Kita GENG 😍😍

Jom join Geng Kebun Organik.



Monday, February 18, 2019

Ruang sempit pun boleh menanam


Bukan alasan tak ada tanah untuk menanam bagi mereka yang duduk di pangsapuri atau kondominium. Sekarang kita boleh tanam apa sahaja yang ada dengan pelbagai kaedah atau cara seperti vertical garden, walled pot atau pasu gantung.

Namun, ada beberapa perkara yang kita kena menitikberatkan sebelum nak menanam di kawasan yang sebegini. Seperti suhu dan pengamatan cahaya matahari. Ianya penting untuk memastikan jenis tanaman yang kita nak tanam tu sesuai di kawasan kita.
 
Tanaman yang boleh ditanam adalah tumbuhan yang menjalar dan memanjat. Ianya kerana tumbuhan jenis ini hanya memerlukan ruangan tanah yang sedikit sahaja. Tumbuhan jenis ini akan memanfaatkan seperti tiang atau pagar besi sebagai tempat untuk memanjat. Antaranya seperti tomato, cili padi, bawang.

Tanaman yang tidak digalakkan untuk ditanam adalah jenis berbunga kerana ianya memerlukan pengamatan cahaya matahari yang mencukupi. Kalau tidak, bunganya akan kudup. Tapi jika ruang balkoni anda mempunyai pengamatan cahaya matahari yang bagus, tidak salah untuk meletakkan tanaman bunga kerana ia akan memberikan seri pada balkoni anda.


 Penggunaan window box yang kebiasaanya diletakkan dihadapan tingkap dan ditanam dengan tumbuhan yang menjalar. Ianya sesuai untuk tanaman herba. Penggunaan ini juga mudah untuk kita mencapai tanaman dan memantau tanaman kita. Ianya juga mudah diselenggara dan ringan kerana kebanyakkannya ia menggunakan bahan daripada jenis PVC atau fiberglass.

Penggunaan pasu gantung pula biasanya digunakan untuk tumbuhan yang menjalar, hiasan atau berbunga lebat. Kaedah ini sesuai untuk tanaman bunga kerana selalunya ia digantung disisi bangunan, tiang, hujung bumbung dan kekisi. Pemilihan pasu gantung juga perlulah mempunyai lubang untuk memudahkan pengaliran air.


Anda minat menanam? Kita GENG 😍😍

Jom join Geng Kebun Organik






 

Sunday, February 17, 2019

Hilangkan racun serangga pada tanaman dengan tips ini



Racun yang ada pada tanaman kita mungkin akan membawa kepada kesan kesihatan yang serius terutamanya dalam jangka masa panjang. Racun ini terbahagi kepada dua jenis iaitu racun serangga dan racun kulat. Ianya memberi kesan bahaya dengan menganggu sistem saraf kita. Kesan ini lebih tinggi kepada kanak-kanak berbanding dewasa.


Racun perosak yang bertoksik ini pada jangka masa panjang juga akan memberi kesan kepada organ hati, buah pinggang dan hormon endokrin manusia. Apabila ia memberi kesan kepada hormon endokrin, badan kita mudah mendapat penyakit metabolik seperti sakit jantung.


Admin nak share cara untuk bersihkan sisa racun serangga pada tanaman kita :

1. Basuh dan gosok dengan air
Sisa racun boleh dikurangkan dengan membasuh tanaman dan menggosoknya di bawah aliran air sejuk. Pastikan juga menggosok di celahan buah dan sayuran di mana racun serangga ini berkumpul untuk memastikan sayuran kita betul-betul bersih.
 

2. Basuh dengan air garam
Membasuh menggunakan garam dapat menjadikan ulat yang ada akan keluar dan sayuran akan jadi bersih dan bebas ulat.


3. Cuka putih
 Cuka dapat membunuh kuman dan juga membuang sisa racun. Caranya: Rendam buah/sayur ke dalam 1 bahagian cuka dan 10 bahagian air selama 30-60 minit.


4. Lemon dan sodium bikarbonat
Bahan ini dapat membunuh kuman dan juga mampu meneutralkan toksik daripada sisa tersebut.
Caranya: Masukkan satu cawan jus lemon dan dua camca besar baking soda dalam botol spray. Spray pada makanan dan lap (buah) atau basuh dengan air.

Bila sayuran atau buah yang kita makan bersih dan bebas dari sisa bahan kimia, tak adalah penyakit yang akan datang. Amalkan cara-cara ni untuk pastikan kehidupan seharian kita sentiasa sihat. 😊


Anda minat menanam ? Kita GENG 😍😍

Jom join Geng Kebun Organik

Thursday, February 14, 2019

Tip hasilkan bunga ros lebat

Ramai yang sukakan dan kadang ada yang sampai obses dengan bunga ros ni sebabkan warnanya yang pelbagai dan cantik bila berkembang. Beli dekat nurseri elok kembang cantik je, bila dah letak dekat rumah 2 3 hari pokok dah tak berbunga. Hakikatnya bunga ros mudah untuk ditanam, tapi sukar untuk menjaganya kerana mudah mendapat penyakit pokok. Cik Mila nak share tips untuk melebatkan bunga ros.


Yang pertama sekali adalah buang daun-daun yang telah rosak dan mula timbul warna kuning.

Yang kedua adalah bagi bunga yang dah berkembang dan mula nak layu, ia perlu dicantas dan tanam pada tanah untuk hasilkan anak baru. Namun untuk hasilkan anak pokok, potongan perlu disertakan dengan 4-5 helai daun dari bahagian bawah bunga. 

Yang ketiga, penggunaan baja dengan kadar yang tertentu bagi pokok bunga. Pembajaan akan membekalkan kalsium dan nutrien bagi pertumbuhan pokok bunga.

Yang keempat, lakukan penanaman semula dengan saiz pasu yang lebih besar untuk memberi keselesaan pada pasu supaya akar pokok bebas bergerak.

Yang keenam, pastikan pokok bunga ros menerima pengamatan cahaya terutamanya diwaktu pagi selama 6 jam sehari.

Yang ketujuh, penyiraman perlu dilakukan sekurang-kurangnya 2 kali sehari. Namun, ketika musim hujan, pastikan medium tanaman kering sebelum membuat penyiraman.


Anda minat menanam? Kita GENG 😍😍

Jom join Geng Kebun Organik

3 JENIS POKOK BUNGA HIASAN INDOOR YANG MUDAH DITANAM DI DALAM RUMAH

Tak ceria rumah tanpa pokok hiasan hidup tiada diruang tamu. Kebanyakan suri rumah menggunakan pokok hiasan palsu untuk diletakkan di ruang ...